Sunday, 21 July 2013

Lawatan ke kandang Kampung Karak Setia Bentong (Pahang)

Bertarikh 13 Julai 2013, hari sabtu, ketika pulang dari Kuantan, saya beserta abang ipar saya singgah sebentar di Bentong, Pahang, untuk melawat tuan Haji Mad. Beliau merupakan bekas peserta Bengkel Transformasi Ruminan, yang saya temui pada 28hb Jun 2013 lalu.


Tiba pada jam 2.00 tengahari, ketibaan kami disambut mesra oleh tuan Haji Mad. Kebetulan beliau sudah selesai menguruskan kerja kandangnya, kedatangan kami disambut dengan penuh rasa gembira. Kami berehat sebentar di rumah pekerja beliau, bagi menghilang rasa penat yang masih dirasai ketika duduk di dalam kereta selama 2 jam.




Sudah berkecimpung dalam dunia ternakan kambing lebih 2 tahun, beliau mengatakan bidang ini memang banyak cabarannya. Selain mengambil kira faktor kos, faktor masa perlu diberikan perhatian yang penuh bagi memastikan semuanya berjalan dengan lancar. Tetapi, semua penat lelah tersebut "terbayar" semula setelah melihat ternakan-ternakan beliau berjaya dibela dan dipasarkan, serta bertambah bilangannya dari hari ke hari.

Memiliki kawasan seluas 1 setengah ekar, beliau mampu membina satu kandang besar, dan satu kandang kecil bagi tempat untuk meletakkan ternakan sementara. Di samping itu, terdapat juga rumah pekerja yang selesa, tempat untuk melakukan kerja pemprosessan makanan, serta rumah tinja.


Disebelah kawasan tersebut, beliau menanam rumput Napier bagi bekalan makanan. Ini bagi saya sangat sesuai dan praktikal, kerana faktor makanan merupakan asas yang penting dalam ternakan. Dengan adanya kawasan ini, beliau berjaya menjimatkan kos dari segi jarak dan bekalan. Kawasan ini dikelilingi dengan pagar elektrik bagi mengelak pencerobohan binatang-binatang luar.



Di samping itu, beliau ada juga menternak itik bagi memperolehi pendapatan sampingan.



Lawatan kami berakhir pada jam 4.30 petang. Saya berasa amat puas dan gembira melihat ladang yang dimiliki oleh tuan Haji Mad. Kejayaan beliau benar-benar menaikkan semangat saya untuk terus berusaha gigh, serta berharap, suatu hari nanti, saya juga berjaya memiliki kawasan ternakan yang bersesuaian seperti beliau.

Lawatan ke MARDI Serdang Selangor

Hari Selasa, 11hb July 2013, seawal jam 9.30 pagi, saya telah memulakan perjalanan menuju ke Bangi, di mana terletaknya ibu pejabat Mardi, bersebelahan dengan Universiti Putra Malaysia (UPM). Saya diberitahu bahawa pihak Mardi boleh membantu sekiranya kita ada sebarang persoalan mengenai ternakan dan tanaman. Saya berpendapat mungkin persoalan yang bermain di fikiran saya ada jawapannya di sini.


Saya bertemu dengan Dr. S.Shanmugavelu, Timbalan Pengarah bahagian Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik. Seorang yang peramah dan tidak lokek dengan ilmu pengetahuan. Beliau menerangkan serba sedikit mengenai ternakan serta cara-cara menjaga dan membelanya.





Antara penjelasan yang diberikan oleh beliau adalah:

1. Faktor umur yang sesuai bagi ternakan untuk dikahwinkan
Lembu jantan seelok-eloknya berumur dalam lingkungan 2 setengah ke 3 tahun, jika hendak dikahwinkan dengan lembu betina yang berumur 2 setengah tahun ke atas.

2. Faktor pemakanan
Makanan hijau (rumput, jagung, pelepah sawit, dll) hendaklah diberikan setiap hari, diselangi dengan makanan PKE (pallete) di sebelah petangnya, bagi memberikan tumbesaran yang konsisten dan sesuai.

3. Tanaman rumput Napier
Rumput Napier, atau rumput gajah bagi sesetengah pihak, boleh ditanam dengan mengambil sebahagian tunas dari batang rumput tersebut, dan dipasakkan ke dalam tanah. Ianya hendaklah ditanam melintang sedikit (tidak tegak), kerana pohon rumput tersebut akan tumbuh pada jaluran tunas, bukan terus dari batang yang dipotong. Rumput ini mengambil masa 8 hingga 10 minggu untuk matang.

4. Teknik jagaan dalam ladang sawit
Teknik ini sangat sesuai bagi mereka yang baru hendak mencuba dalam menternak lembu, serta, menjimatkan kos. Apa yang perlu adalah beberapa gulung wayar elektrik beserta bateri yang boleh di caj semula, atau terus pada bekalan elektrik. Tidak memerlukan kandang. Hanya perlu memindahkan pagar tersebut, ke bahagian yang seterusnya. Biasanya, pagar akan dipasang diselangi dengan tempoh seminggu.

Sebagai contoh, jika kita ada 10 ekar ladang kelapa sawit, kita boleh memasang pagar elektrik bersaiz 1 ekar, dan masukkan lembu ke dalamnya. Lembu-lembu ini akan meragut rumput yang ada dalam kawasan 1 ekar tersebut. Setelah seminggu, pindahkan pagar tersebut ke kawasan 1 ekar seterusnya. Ulangi proses yang sama setiap minggu hingga bertemu semula ke kawasan yang kita mulakan tadi.

5. Lembu Tenusu dan Lembu Pedaging
Lembu pedaging adalah lembu yang dibela, apabila cukup umur, boleh dijual. Mengambil masa yang lama, tetapi pulangan yang besar.

Lembu tenusu adalah lembu yang dibela bakanya. Apabila lembu betina melahirkan anak, lembu ini akan terus menghasilkan susu sehingga 300 hari sehingga tempoh umur yang sesuai untuk dikahwinkan semula. Berupaya menghasilkan 5 hingga 8 liter susu sehari (mengikut baka), lembu ini mampu menghasilkan pulangan harian yang menguntungkan.



Perjumpaan kami berakhir setelah mengambil masa lebih satu setengah jam. Tidak cukup dengan itu, saya telah membeli beberapa buku yang dianggap sesuai di kedai buku berhampiran sebagai ilmu tambahan.



Pulang dengan perasaan yang puas, saya merasakan lawatan saya pada kali ini tidak disia-siakan.

Monday, 8 July 2013

Lawatan ke kandang Jalan Kapar Klang Selangor

Keesokan harinya, saya terus memulakan langkah untuk membuat lawatan ke kandang ternakan berhampiran. Kandang yang saya lawati ini, adalah milik kepada En. Zainuddin and En. Haji Jawahir. En. Zainuddin ini merupakan rakan kepada En. Haji Amar, pegawai veterinar yang dijumpa tempoh hari.

Terletak di Jalan Kapar, Klang, Selangor, kandang ini sudah pun bertapak lebih dari 4 tahun, En. Zainuddin sendiri mengaku, banyak panca-robanya dalam dunia ternakan. Semuanya memelukan keazaman, kecekalan, dan kesabaran yang tinggi jika ingin terus bertahan dalam arena ini.



Antara nasihat yang diberikan oleh adik beliau, En. Haji Jawahir adalah, pemakanan merupakan asas yang paling penting dalam penternakan. Makanan seharusnya cukup, bagi membantu tumbesaran dan keseimbangan ternakan itu sendiri. Disertakan dengan suppliment yang cukup, ternakan akan membesar dengan sihat, dan bakal memenuhi ruang pembesaran dan berat yang sesuai bagi mencapai tahap penjualan.

Sehubungan dengan itu, kandang juga perlulah selalu bersih, dan berada dalam keadaan terjaga. Ini bagi memberi keselesaan kepada ternakan itu, secara tidak langsung, menghindarkan ia dari ancaman dan serangan pelbagai penyakit. Oleh itu, kandang hendaklah selalu dicuci.

Perancangan yang terancang juga perlu, bagi penternakan jangka masa panjang. Ini bagi mengimbangkan perniaggan itu sendiri, agar tidak terlebih budget, baik dari segi masa, tenaga, pekerja, dan kos.



Memiliki lebih dari 100 ekor kambing, yang rata-ratanya terdiri dari kambing jenis Barbados dan Saanen, penjagaan yang rapi amat dititik-beratkan bagi membantu pelancaran proses pembesaran. Kambing Barbados adalah jenis kambing pedaging, manakala kambing Saanen adalah jenis kambing tenusu.


Melihat kepada keceriaan suasana dan jumlah yang dimiliki di kandang ini, membuatkan hati saya untuk terus bertahan, dan berusaha lebih gigih, agar suatu hari nanti, saya juga bakal memiliki kandang seperti ini.

Lawatan ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor

Lawatan ini bertarikh 2 July 2013, bersamaan hari Selasa. Dua hari selepas berkursus di perkampungan Banghuris, Sepang. Hati saya masih bersemangat dengan aktiviti pertenakan.

Jiwa yang dianggap kosong ini, membuatkan hati saya tergerak untuk membuat kunjungan ke Jabatan Veterinar yang berdekatan.


Tetapi sebelum melangkah ke sana, saya telah pun membuat panggilan. Ini bagi memudahkan lagi untuk berurusan dengan pegawai yang berkaitan. Alhamdulliah, saya telah dipertemukan dengan En. Haji Amran.


Terletak di tingkat 1, Bahagian Pembangunan Industri, kehadiran saya telah pun dinantikan oleh beliau.



Seperti yang dijanjikan, senarai nama penternak kambing di seluruh Negeri Selangor telah disediakan oleh En. Haji Amran. Beberapa tips berguna diberikan sebagai panduan. Tips yang dikira amat bernilai bagi orang yang baru hendak memulakan langkah ke alam penternakan seperti saya ini.

Diantara tips yang diberikan adalah, cuba mendapatkan tunjuk ajar dari penternak-penternak yang sedia ada. Belajar daripada mereka. Kerana setiap langkah dan pengalaman mereka, sedikit sebanyak dapat membantu untuk kita meneruskan usaha sebagai penternak dan usahawan ternakan.

Perbincangan kami berakhir setelah satu jam berlalu. Masa yang dirasa agak singkat, bila perbualan yang dibincangkan semuanya mengandungi isi dan tidak sia-sia.

Kini, hati saya berasa yakin sedikit, setelah mendapat petunjuk ajar dari pegawai veterinar sendiri.

Monday, 1 July 2013

Banghuris Homestay

Setibanya kami (semua peserta) berada di dalam dewan, selepas sesi pendaftaran, kami semua dialukan dengan sesi taklimat mengenai program bengkel ini. Setelah selesai taklimat, pihak homestay, dimana, terdiri dari penduduk-penduduk kampung sekeliling, pun membawa diri melangkah masuk untuk sesi suai kenal.

Setiap peserta akan dibahagikan kepada 4 orang untuk 1 rumah, dan mereka akan menginap di rumah Emak atau Ayah angkat mereka.

Saya pula berpeluang untuk duduk satu rumah bersama rakan yang baru saya kenali, iaitu Azril Bin Hafiz, serta rakannya, Akmal Bin Walit.

Acara mengambil masa selama satu jam, dan akhirnya, semua peserta berjaya bersurai menghala ke rumah mereka masing-masing.




Inilah rumah yang saya diami selama 3 hari 2 malam. Rumah ini milik Tuan Haji Amin, yang tinggal bersama isteri dan anak-anaknya. Seorang yang amat ramah dan baik hati. Mengikut katanya, rumah ini selalu didatangi pelancong-pelancong asing, sejauh Jepun dan Jordan, yang datang ke Malaysia untuk mendalami dan memahami budaya masyarakat Melayu di sini.

Bagi pelancong yang datang, mereka akan dihidangi dengan pelbagai aktiviti-aktiviti menarik, seperti bercucuk tanam, bersukan, dan beriadah, serta bergotong-royong melakukan aktiviti kampung.

Ada juga yang akan dihiaskan dengan aktiviti perkahwinan, di mana, para pelancong akan berpakaian seperti Raja Sehari, dan turut diikuti dengan paluan kompang dan persembahan silat.

Saya merasakan tempat ini bukan sahaja sesuai bagi pelancong-pelancong luar, tetapi, sesuai juga untuk pelancong-pelancong dalam negara, untuk mereka memahami serta merasai budaya kampung yang saya rasa, semakin hari, semakin hilang di telan zaman.


Inilah dia Tuan Haji Amin (dua dari kiri), Akmal Bin Walit (kiri pertama), dan Azril Bin Hafiz (dua dari kanan)

Satu pengalaman yang amat berharga, dan tidak akan dapat saya lupakan.

Bengkel Transformasi Ruminan 2013


Ini adalah Bengkel Transformasi Ruminan anjuran kerjasama MTG, Utusan dan JPV Putrajaya. Bengkel yang mengambil masa selama 3 hari 2 malam di Banghuris Homestay, Sepang, Selangor ini ternyata membuka minda ramai peserta, yang baru, mahupun, yang sudah lama.

Di sini kami mempelajari pelbagai ilmu, merangkumi aspek seperti situasi industri ternakan di malaysia (keadaan semasa), konsep penternakan dan perniagaan, arah tuju industri ternakan, peluang dunia penternakan, sistem pemakanan penternakan, kaedah melapah dan pemerapan, pemprosesan baja kompos, konsep penternakan moden, dan pelbagai lagi.

Ramai panel-panel yang berpengalaman dijemput bersama dalam menjayakan bengkel ini.

Selain disajikan ilmu yang pelbagai, kami juga disajikan dengan pelbagai hidangan makanan yang sedap. Pendek kata, berat badan boleh bertambah dalam hanya 3 hari. :-)




Sesi taklimat dan pembelajaran diadakan di dalam dewan, yang boleh memenuhi kesemua peserta. Dianggarkan seramai 150 peserta yang hadir.



Siri amali dan hands-on, di kandang ternakan.



Dan tidak lupa juga, sesi makan. :-)
3 ekor kambing "tumbang" bagi menjayakan majlis makan malam untuk hari ini.

Bengkel berakhir dengan jayanya, dan semua peserta pulang dengan keadaan gembira dan teruja.
Diharap bengkel seperti ini akan diadakan lagi di masa akan datang.

( Kredit diberikan kepada En. Nordin Mat daripada pihak MTG untuk gambar-gambar diatas )

Perjalan seorang penternak era moden

Salam semua ...!

Ini adalah pertama kali saya memasuki alam "blog". Setelah melihat ramai orang diluar sana menulis blog masing-masing, lebih-lebih lagi para-para penternak. Saya rasa saya juga perlu mengikuti jejak langkah mereka.

Banyak yang dapat dipelajari dengan hanya melayari page / blog. Ramai di kalangan penternak, yang sudah lama, mahupun yg baru, menulis akan kisah dan pengalaman mereka. Macam-macam yang dapat kita ketahui, jadi, memang tidak rugi. Masa yang dihabiskan dalam melayari blog mereka, memang sesuatu yang boleh dianggap tidak sia-sia.

Saya merupakan seorang yang baru berkecimpung dalam dunia penternakan ini. Setelah menghadiri pelbagai seminar dan kursus, barulah hati saya terbuka untuk memasuk alam ini. Memang ia sesuatu yg boleh dikatakan menarik, bagi mereka yang meminatinya, kerana kita dapat berinteraksi dengan haiwan ternakan. Kita dapat mempelajari dari mula peringkatnya, seperti sejak ia dari peringkat beranak, sehingga ia dewasa. Di sini, kita dapat melihat pelbagai aspek mengelilingi proses itu, bukan sahaja pemeliharaan, tetapi, penjagaannya di sepanjang proses itu, seperti pemakanan, pengurusan, penjualan, dan sebagainya.

Dalam blog saya ini, saya akan cuba bercerita sebaik mungkin akan kehidupan baru saya sebagai seorang penternak. Memang saya menjangka, yang ia bukanlah tempoh yang singkat, tetapi, jika kita benar-benar ingin berjaya di dalamnya, maka kita harus sentiasa sabar, dan tabah mengharungi setiap keadaan yang datang.

Baik, tanpa membuang masa, saya akan teruskan blog saya dengan segera.

Insyallah, semuanya akan berjalan dengan lancar.

Selamat membaca !!