Sunday, 21 July 2013

Lawatan ke MARDI Serdang Selangor

Hari Selasa, 11hb July 2013, seawal jam 9.30 pagi, saya telah memulakan perjalanan menuju ke Bangi, di mana terletaknya ibu pejabat Mardi, bersebelahan dengan Universiti Putra Malaysia (UPM). Saya diberitahu bahawa pihak Mardi boleh membantu sekiranya kita ada sebarang persoalan mengenai ternakan dan tanaman. Saya berpendapat mungkin persoalan yang bermain di fikiran saya ada jawapannya di sini.


Saya bertemu dengan Dr. S.Shanmugavelu, Timbalan Pengarah bahagian Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik. Seorang yang peramah dan tidak lokek dengan ilmu pengetahuan. Beliau menerangkan serba sedikit mengenai ternakan serta cara-cara menjaga dan membelanya.





Antara penjelasan yang diberikan oleh beliau adalah:

1. Faktor umur yang sesuai bagi ternakan untuk dikahwinkan
Lembu jantan seelok-eloknya berumur dalam lingkungan 2 setengah ke 3 tahun, jika hendak dikahwinkan dengan lembu betina yang berumur 2 setengah tahun ke atas.

2. Faktor pemakanan
Makanan hijau (rumput, jagung, pelepah sawit, dll) hendaklah diberikan setiap hari, diselangi dengan makanan PKE (pallete) di sebelah petangnya, bagi memberikan tumbesaran yang konsisten dan sesuai.

3. Tanaman rumput Napier
Rumput Napier, atau rumput gajah bagi sesetengah pihak, boleh ditanam dengan mengambil sebahagian tunas dari batang rumput tersebut, dan dipasakkan ke dalam tanah. Ianya hendaklah ditanam melintang sedikit (tidak tegak), kerana pohon rumput tersebut akan tumbuh pada jaluran tunas, bukan terus dari batang yang dipotong. Rumput ini mengambil masa 8 hingga 10 minggu untuk matang.

4. Teknik jagaan dalam ladang sawit
Teknik ini sangat sesuai bagi mereka yang baru hendak mencuba dalam menternak lembu, serta, menjimatkan kos. Apa yang perlu adalah beberapa gulung wayar elektrik beserta bateri yang boleh di caj semula, atau terus pada bekalan elektrik. Tidak memerlukan kandang. Hanya perlu memindahkan pagar tersebut, ke bahagian yang seterusnya. Biasanya, pagar akan dipasang diselangi dengan tempoh seminggu.

Sebagai contoh, jika kita ada 10 ekar ladang kelapa sawit, kita boleh memasang pagar elektrik bersaiz 1 ekar, dan masukkan lembu ke dalamnya. Lembu-lembu ini akan meragut rumput yang ada dalam kawasan 1 ekar tersebut. Setelah seminggu, pindahkan pagar tersebut ke kawasan 1 ekar seterusnya. Ulangi proses yang sama setiap minggu hingga bertemu semula ke kawasan yang kita mulakan tadi.

5. Lembu Tenusu dan Lembu Pedaging
Lembu pedaging adalah lembu yang dibela, apabila cukup umur, boleh dijual. Mengambil masa yang lama, tetapi pulangan yang besar.

Lembu tenusu adalah lembu yang dibela bakanya. Apabila lembu betina melahirkan anak, lembu ini akan terus menghasilkan susu sehingga 300 hari sehingga tempoh umur yang sesuai untuk dikahwinkan semula. Berupaya menghasilkan 5 hingga 8 liter susu sehari (mengikut baka), lembu ini mampu menghasilkan pulangan harian yang menguntungkan.



Perjumpaan kami berakhir setelah mengambil masa lebih satu setengah jam. Tidak cukup dengan itu, saya telah membeli beberapa buku yang dianggap sesuai di kedai buku berhampiran sebagai ilmu tambahan.



Pulang dengan perasaan yang puas, saya merasakan lawatan saya pada kali ini tidak disia-siakan.

No comments:

Post a Comment